Mar 18, 2011

Penyusuan Hak Bayi

Sekadar perkongsian bersama


1) Para fuqaha menjelaskan penyusuan merupakan hak seorang bayi dengan pendapat mereka seperti berikut:
Maksudnya : " Penyusuan merupakan hak seorang bayi seperti mana nafkah menjadi sebahagian hak seseorang dewasa iaitu ibunya. "

2) Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT yang berbunyi:
Surah Al-Baqarah 2 : 233
Maksudnya : “…dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut
cara yang sepatutnya…” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

3) Seseorang bayi memerlukan makanan yang diperolehi daripada penyusuan. Maka menjadi kewajipan ke atas bapanya untuk memberikan nafkah makanan dan pakaian kepada si ibu. Ini kerana melaluinya, bayi akan mendapat sumber makanan secukupnya.

4) Dalam perbahasan syariah, penyusuan disebutkan sebagai salah satu isu penting yang melibatkan isu-isu syariah. Penyusuan ini turut dikenali sebagai al-radha'ah.

5) Al-Radha'ah ( الر ضاعة ) merujuk kepada keadaan di mana sampainya susu seseorang wanita ke dalam rongga tekak seseorang bayi sama ada dengan  menyusu terus daripada payudara seseorang wanita atau melalui apa-apa kaedah yang boleh menggantikannya dengan syarat-syarat tertentu.

6) Definsi ini menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara penting dalam konteks penyusuan iaitu:
  • a. Bayi;
  • b. Ibu yang menyusu; dan
  • c. Kaedah penyusuan.
7) Sepertimana yang disebutkan dalam subtopik pertama, seseorang bayi berhak mendapatkan susu. Tempoh sempurna seseorang bayi itu mendapatkan susu secukupnya ialah 2 tahun genap. Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT:
Surah Al-Baqarah 2 : 233
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap,..” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

8) Manakala, seseorang wanita yang menyusukan bayi tersebut boleh terdiri daripada ibu kandungnya dalam ikatan perkahwinannya atau yang telah diceraikan atau wanita yang bukan ibu kandungnya.

9) Kaedah penyusuan pula merujuk kepada penyusuan terus daripada payudara wanita yang menyusukan atau apa-apa kaedah lain seperti susu yang diperah dan disimpan di dalam botol dan disusukan bayi tersebut melalui botol itu. Jika dilihat pada realiti hari ini expressed breast milk (EBM), menepati kaedah penyusuan yang disebutkan oleh para fuqaha.

10) Secara umumnya, telah jelas disebutkan, seseorang bayi perlu disusukan dan boleh disusukan oleh wanita yang bukan ibu kandungnya dalam keadaan yang memerlukan melalui kaedah penyusuan yang betul. Justeru, terdapat beberapa implikasi syariah dalam membincangkan isu ini.

HUKUM PERTALIAN DISEBABKAN PENYUSUAN

11) Isu-isu syariah utama yang sering dikaitkan dengan hukum penyusuan adalah seperti berikut:
  • a. Tanggungjawab memberi nafkah oleh seseorang bapa;
  • b. Tanggungjawab seseorang ibu menyusukan bayi;
  • c. Hubungan pertalian yang diharamkan berkahwin;
  • d. Penubuhan bank susu.
12) Walau bagaimanapun, skop perbincangan difokuskan kepada hubungan pertalian kekeluargaan kesan daripada hukum penyusuan. Hukum pertalian ini menatijahkan bayi tersebut tidak boleh berkahwin dengan ibu yang menyusuinya serta ahli keluarga tertentu daripada ibu tersebut. Pihak-pihak yang diharamkan berkahwin dengannya akan diterangkan pada perkara 18.

13) Untuk mencapai tahap pertalian kekeluargaan antara bayi dan wanita yang menyusukannya, terdapat beberapa syarat berdasarkan kepada tiga aspek berikut perlu dipenuhi:
  • a. Bayi;
  • b. Wanita yang menyusukan; dan
  • c. Kaedah penyusuan.
14) Syarat yang berkaitan dengan bayi adalah seperti berikut:
  • a. Umur bayi tidak melebihi dua tahun;
  • b. Tidak disyaratkan bayi tersebut beragama Islam memandangkan tiada nas yang melarang seseorang wanita Islam menyusukan bayi bukan Islam. Namun begitu, perlu ditekankan penyusuan tidak mengubah agama seseorang. Syeikh Attiyyah Saqar menjelaskan bayi akan kekal dalam agamanya dan begitulah sebaliknya. 
  • c. Tidak disyaratkan juga identiti ibu bapa bayi tersebut diketahui. Bagi bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka lebih mudah diuruskan. Ayat 233 daripada surah al-Baqarah telah menyebutkan, jika ibu kandung tidak mampu menyusukan bayinya, dia boleh mengupah orang lain untuk menyusukannya. Daripada umumnya lafaz yang digunakan dalam al-Quran, ia menunjukkan tiada halangan untuk menyusukan bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka walaupun mereka adalah anak-anak yang terbiar.

15) Syarat yang berkaitan dengan ibu yang menyusukan adalah seperti berikut:
  • a. Seorang wanita anak adam. Tidak terkesan hukum pertalian kekeluargaan sekiranya bukan dari kalangan anak adam, seseorang lelaki atau seseorang yang bukan wanita asli.
  • b. Wanita yang menyusukan itu masih hidup sewaktu bayi disusukan.
  • c. Wanita itu mempunyai susu sama ada hamil atau tidak, berkahwin atau tidak, atau telah menopaus atau belum.
  • d. Tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan.Perkara ini disebutkan oleh Syaikh M.S. Al-Munajjid ketika beliau menjawab soal jawab kemusykilan agama berkaitan isu ini. 
  • e. Walau bagaimanapun, makruh memberikan seseorang wanita bukan Islam menyusukan bayi beragama Islam. Ini kerana susu itu tidak selamat daripada makanan atau minuman haram yang sebati dalam makanan dan minuman wanita tersebut. Justeru, ditakuti bayi akan mewarisi sifat buruk kesan daripada pemakanan tersebut. Perkara ini dikiaskan kepada hukum makruh mengupah wanita yang tamak untuk menyusukan seseorang bayi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab sunannya.

16) Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:
  • a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.
  • b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.
  • c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.
17) Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya :  " Diharamkan (perkhawinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan. "

18) Terdapat banyak hadis yang menunjukkan susur galur keluarga yang diharamkan berkahwin disebabkan oleh penyusuan. Berikut merupakan kesimpulan pihak yang diharamkan berkahwin dengannya disebabkan oleh penyusuan:
  • a. Wanita yang menyusukannya;
  • b. Anak-anak wanita yang menyusukannya sama ada anak-anak kandungnya atau anak-anak suaminya yang terdahulu;
  • c. Cucu-cucu wanita yang menyusukannya sama ada daripada anak-anak lelaki atau anak-anak perempuannya;
  • d. Bayi-bayi sesusuan. Sekiranya ibu menyusukan lebih daripada seorang bayi, bayi-bayi tersebut menjadi saudara susuan antara mereka dan maka mereka tidak boleh berkahwin.
  • e. Ibu kepada wanita yang menyusukan;
  • f. Nenek kepada wanita yang menyusukan dan ke atas;
  • g. Adik-beradik wanita yang menyusukannya. Anak-anak kepada adik-beradik wanita tersebut tidak diharamkan berkahwin dengannya; dan
  • h. Wanita yang menyusukan diharamkan berkahwin dengan anak kepada bayi yang disusukan dan ke bawah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...